Bertarikh 21 Jun, 2023, bertempat di Ladang Keruing baru-baru ini, telah berlangsung program Penanaman 100 Juta Pokok Hutan anjuran bersama Jabatan Perhutanan Negeri Sabah & Benta Wawasan Sdn Bhd (BWSB).
Turut hadir dan merasmikan program ini ialah Tuan Musa Salleh, Timbalan Ketua Konservator Hutan (Operasi), Pegawai-pegawai Perhutanan Daerah, Pengurus Besar - Benta Wawasan Sdn Bhd, Tuan Chu Chee Ming, dan barisan pengurusan beserta ahli jawatankuasa program dan staf BWSB.
Kempen Penanaman 100 Juta Pokok ini telahpun dilaksanakan di seluruh negara pada 5 Januari, 2021 dan berlangsung selama 5 tahun, 2021 - 2025. Bertemakan "Pokok Kita, Kehidupan Kita", Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) mempromosi dan menggalakkan penglibatan pelbagai pihak demi menjayakan kempen tersebut.
Objektif kempen ini dilaksanakan antaranya ialah mengekalkan kawasan hijau d seluruh negara selain memelihara dan memulihara kawasan berhutan, meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pokok dan kawasan berhutan serta memupuk semangat cintakan alam sekitar, merakyatkan komitmen dan semangat pengekalan kawasan litupan hijau sebagai satu agenda nasional.
Atas kesedaran terhadap kempen ini, pihak BWSB telah mengambil inisiatif melaksanakan penanaman pengayaan dalam konteks manual, merujuk kepada pemulihan kawasan hutan balak yang berkurangan dalam penjanaan semula spesis kayu komersil. Setakat ini BWSB telah pun menanam sebanyak 26,920 benih pokok jenis Kayu Jati di kawasan seluas 42.22ha dan komited untuk menanam sebanyak 13,286 anak benih pokok di kawasan seluas 20.44ha untuk tahun 2023.
Semoga objektif ini akan dapat direalisasikan dengan jayanya.